Salam,
Sebenarnya bukan semua cemburu itu tidak baik. Ada cemburu yang baik dan terpuji malah disukai Allah. Nabi s.a.w. ada bersabda: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Adapun yang disukai Allah ialah cemburu yang berisi keraguan, sedangkan yang dibenci Allah ialah cemburu yang tiada ragu-ragu lagi.” (Riwayat Abu Daud)
Cemburu yang tiada lagi asas untuk ragu dan sangsi inilah yang dikatakan cemburu buta. Bagi cemburu sedemikian, pintu kemungkinan berlakunya kesilapan atau salah sangka sudah tertutup rapat. Sesuatu yang dicemburukan itu diyakini benar berlaku tanpa selidik dan usul periksa. Sebaliknya cemburu yang baik itu ada asasnya dan disusuli dengan usul periksa.
Selanjutnya meluahkan rasa cemburu juga perlu secara kasih dan sayang, bukannya dengan melulu. Justeru cemburu yang baik itu harus dipandu oleh akal, bukan dengan semata-mata emosi.
Cemburu juga tidak harus dipersempitkan kepada terjejasnya perasaan kasih dan sayang antara pasangan kekasih atau suami isteri sahaja. Ini kerana selain kekasih, suami atau isteri, banyak lagi yang disayangi oleh manusia dalam hidupnya. Oleh itu, sentiasalah peka dengan apa-apa yang Allah marah dan benci serta cemburu.
Cemburu kerana sayangkan Allah itu dengan memelihara rahmat dan nikmat kurniaan-Nya, kerana mahu bersyukur dan bimbang kehilangan pandangan kasihan belas dari Allah. Juga kerana takut hilang keberkatan hidup dan petunjuk-Nya.
Mudah-mudahan dengan cemburu itu terbuka pintu pengampunan Allah dan seisi keluarga tidak kempunan nikmat syurga milik-Nya. AMIN!
No comments:
Post a Comment